UBD, Go Rush Express wujudkan perkongsian strategik




Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Ihsan Universiti Brunei Darussalam






TUNGKU LINK, Selasa, 23 April. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Go Rush Express menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) pada majlis yang berlangsung di UBD, hari ini.


MoU tersebut menandakan permulaan perkongsian penting yang bertujuan bagi pengantarabangsaan (internationalisation) pengajian tinggi. Menandatangani bagi pihak UBD ialah Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle dan Pengarah Urusan, Danny Chua menandatangani bagi pihak Go Rush Express.


Dengan termeterainya MoU tersebut mewujudkan asas kerjasama dalam penyelidikan, pendidikan dan program latihan yang mempunyai kepentingan bersama kepada kedua-dua belah pihak. Ia juga merupakan satu langkah strategik ke arah mempertingkatkan peranan logistik dalam ekonomi negara, khususnya sejajar dengan objektif Wawasan Brunei 2035.


"Di Negara Brunei Darussalam, Sektor Logistik diiktiraf sebagai asas untuk kestabilan dan pengembangan ekonomi negara, selaras dengan objektif Wawasan 2035," jelas Pengarah Urusan Go Rush Express yang juga menekankan peranan kritikal logistik dalam pembangunan negara.


Dalam ucapan Naib Canselor UBD pula menekankan faedah akademik perkongsian antara UBD dan Go Rush Express. “Perkongsian itu akan memainkan peranan penting dalam mencapai Wawasan Brunei 2035, agenda negara yang bertujuan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang terkenal dengan penduduknya yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran tinggi.


“Kerjasama tersebut bukan sahaja akan menumpukan pada kemahiran teknikal tetapi juga untuk memupuk kemahiran kritikal yang diperlukan untuk pekerjaan masa depan, seperti kepimpinan, daya tahan, inovasi, kreativiti dan penyelesaian masalah yang kompleks," ujar Naib Canselor UBD.


Kerjasama berkenaan merangkumi beberapa inisiatif penting yang bertujuan untuk memupuk kerjasama dan memajukan persefahaman antarabangsa. Inisiatif ini merangkumi pembangunan program kerjasama khusus, menyediakan peluang latihan untuk pelajar UBD pada setiap semester sebagai sebahagian daripada Program Discovery Year (DY) dan komitmen oleh Go Rush Express untuk menawarkan enam jawatan tahunan kepada graduan UBD yang pakar dalam logistik dan 'Supply Chain', pemasaran, kewangan dan IT.


Selain itu, kerjasama itu bertujuan untuk meneroka penyelidikan bersama yang berpotensi dalam bidang kepentingan bersama, meningkatkan lagi pengalaman pendidikan dan praktikal untuk pelajar dan fakulti.


Close